Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim :
عن أنس بن مالك رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: ((لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه))
Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mengasihi kepada saudaranya (seagama) apa yang dia kasihi terhadap dirinya”.
Hadith ini merupakan kunci yang penting terhadap akhlak yang baik. Bahkan ianya boleh dikategorikan sebagai hadith usul dalam bidang akhlak.
Bagaimana tidak sedangkan Rasulullah s.a.w telah meletakkan kasih sayang sebagai indikator yang menyempurnakan tahap keimanan seseorang.
Iman yang sempurna ialah iman yang disuburi dengan amalan-amalan kebaikan, dan sehubungan dengan itu apa jua maksiat yang dilakukan akan mengurangkan tahap keimanan seseorang.
Demikianlah definisi iman yang telah digariskan oleh ulama bahawa; Iman itu membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan mengamalkan dengan anggota. Iman itu bertambah dan berkurang; bertambah dengan ketaatan dan berkurang dengan kemaksiatan.
Justeru hadith ini mengajak kita untuk berbuat baik kepada saudara seagama di atas dasar keimanan dan kasih sayang.
Lihatlah pada diri kita. Kita mempunyai hati dan perasaan. Kita suka untuk dikasihi dan kita juga buat untuk disantuni. Kita tidak suka untuk disakiti dan kita juga tidak suka untuk dizalimi. Demikianlah juga saudara seagama dengan kita.
Dalam satu hadith yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda : “Muslim itu saudara bagi muslim yang lain. Mereka tidak menzaliminya dan tidak menghinanya.”
Di atas dasar inilah kita membina nilai akhlak pada diri.
Semoga Allah mengurniakan kita kefahaman yang jelas berkaitan agama. Semoga Allah menghiasi diri kita dengan akhlak dan pekerti mulia. Sesungguhnya tiada yang memberati timbangan amalan kita pada hari akhirat lebih daripada akhlak yang baik.

