Titian Sirat

Ceramah Titian Sirat online:

TITIAN SIRAT

(Maryam : 71) Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam); (yang demikian) adalah satu perkara Yang mesti (berlaku) Yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

As-Sirat dari sudut bahasa bermaksud jalan. Manakala dari sudut syariat ianya merupakan satu jambatan yang dibentang merentasi Neraka Jahannam; untuk manusia menyeberanginya menuju ke Syurga.

SIFAT TITIAN SIRAT

Dari Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda tentang As-Sirat: “…dan padanya (As-Sirat) ada cangkuk atau pengait yang berduri seperti duri As-Sa’daan melainkan tidak mengetahui kadar besarnya melainkan Allah; mengait manusia mengikut amalan mereka” Riwayat Bukhari dan Muslim

Abi Said Al-Khudriy r.a berkata: “Telah sampai kepadaku bahawa ianya (As-Sirat) lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

MENYEBERANGI TITIAN SIRAT

Tidak akan menyeberangi titian Sirat melainkan orang Mukmin.

Dari Abi Said Al-Khudriy r.a dari Nabi s.a.w : “…Maka orang mukmin akan melaluinya seperti kerdipan mata; (ada yang) seperti kilat dan taufan, seperti burung, seperti kuda dan tunggangan yang terbaik; maka yang berjaya selamat sampai, yang tersiat dihantar, yang terkait berada dalam neraka…” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

Dari hadith Abi Hurairah dan Huzaifah r.a : “…berjalan bersama mereka amalan mereka dan nabi kamu berada di atas titian sirat dalam keadaan berkata: “Ya Tuhan, selamatkan! Selamatkan!”, sehingga lemahnya amalan hamba-hamba dan sehingga datang seorang lelaki yang tidak mampu berjalan melainkan merangkak” Sebahagian dari hadith riwayat Muslim

Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, selamatkan, selamatkan!” Riwayat Bukhari

AL-HAUDH (KOLAM NABI MUHAMMAD S.A.W )

Al-Haudh adalah kolam takungan air dari sungai Al-Kauthar yang dianugerahkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk diberi minum kepada ummatnya sebelum memasuki syurga pada hari Kiamat. -Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan kita sebahagian dari ummatnya!-

(al-Kauthar: 1) Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan Yang banyak (di dunia dan di Akhirat).

SIFAT AL-HAUDH

Sabda Rasulullah s.a.w:“Akulah yang akan menyambut kamu sekalian di Al-Haudh” Bukhari

Sabda Rasulullah s.a.w : “Demi jiwaku yang berada dalam genggamanNya,bekas minumnya lebih banyak dari bintang di langit pada malam yang gelap dan tiada terlindung oleh awan; bekas dari syurga, barangsiapa yang minum darinya tidak akan dahaga buat selama-lamanya. Mengalir ke dalamnya dua saluran dari syurga, siapa yang minum darinya tidak akan dahaga. Luasnya seperti jauh antara Amman dan Ailah; airnya lebih putih dari susu dan lebih manis dari madu ”

BEBERAPA MANUSIA DIHALANG DARI MENGHAMPIRI AL-HAUDH

!!! Dari Asmaa r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Aku berada di Al-Haudh menunggu sesiapa yang datang kepadaku lantas ditarik beberapa orang manusia dari mendekatiku. Maka aku berkata: “Ummatku”. Kemudian dikatakan kepadaku: “Engkau tidak tahu bahawa mereka telah berjalan ke belakang”. Riwayat Bukhari

Leave a Reply