SYAFAAT NABI
Ceramah syafaat nabi online:
PERSAKSIAN RASUL TERHADAP UMMATNYA
(An-Nisaa: 41). Maka bagaimanakah (Keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan Engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umat mu ini?
PARA NABI DITANYA TENTANG TUGAS MEREKA DAN UMAT NABI MUHAMMAD MENJADI SAKSI MEREKA
(Al-Maidah: 109) (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu bertanya: “Apakah penerimaan yang diberikan kepada Kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu menyampaikan seruan agama Allah)?” Rasul-rasul itu menjawab: “Tidak ada bagi Kami pengetahuan Yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha mengetahui akan Segala perkara yang ghaib”
KEADAAN ORANG-ORANG YANG TIDAK MEMBAYAR ZAKAT, PEMBOHONG DAN PEMIMPIN YANG MENYELEWENG PADA HARI AKHIRAT
Dari Abi Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang diberikan oleh Allah kepadanya harta kemudian tidak menunaikan zakatnya; dirupakan baginya pada hari kiamat ular (Syuja’ Aqra’) yang mempunyai dua titik hitam dan membelitnya pada hari kiamat lalu ia akan mematuk tuannya di kedua pipinya seraya berkata: “Akulah hartamu, akulah perbendaharaanmu”. Kemudian Rasulullah s.a.w membaca:
(Ali Imran: 180) Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka, bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.
Dari Ibnu Umar r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila Allah menghimpunkan manusia yang dahulu dan kemudian pada hari kiamat, lalu diangkat bagi setiap penipu bendera pada hari kiamat. Maka dikatakan: Inilah penipuan Fulan bin Fulan” Riwayat Bukhari dan Muslim
Dari Abi Said Al-Khudri r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w bersabda: “Bagi setiap penipu @ pembohong bendera pada hari kiamat yang diangkat baginya sesuai dengan kadar penipuannya. Dan tiada penipu yang paling besar penipuannya dari pemimpin orang ramai”. Riwayat Muslim
Rasulullah s.a.w bersabda dalam kisah Ibnu Lutbiyyah: “Tidak datang seseorang dari kalangan kamu dengan perkara demikian (penyelewengan) melainkan dia datang membawanya pada hari kiamat; sekiranya unta maka baginya bunyi unta, sekiranya lembu maka baginya suara lembu atau kambing yang bertembek. Kemudian Rasulullah s.a.w mengangkat tangannya sehingga nampak putih ketiaknya lalu bersabda: Ya Allah! Tidakkah aku telah sampaikan? Ya Allah! Tidakkah aku telah sampaikan?” Riwayat Bukhari dan Muslim

Leave a Reply